Thursday, August 26, 2010

Belasungkawa


Nek Tin (pakai spek, tudung warna kuning air) di sebelah awek cun yang menopang dagu.
Al-Fatihah buat Nek Tin (Hjh. Entin binti Manap) yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ramadhan 1431 di Hospital Selayang.  Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.  Amin..

Nenek,

Dulu tiap-tiap tahun kitorang mesti balik rumah nenek kat Melaka untuk buka puasa sama-sama.  Meriah betul.  Lepas tu solat jemaah, lepas tu terbungkang kat ruang tamu sampai nenek nak lalu nak pasang ubat nyamuk pun susah.  Tapi nenek tak pernah marah.

Dulu tiap-tiap tahun kitorang balik beraya rumah nenek, kecoh rumah nenek dengan bunyi-bunyi mercun.  Pastu kitorang main baling-baling mercun kat pokok durian nenek, pokok rambutan nenek.  Tapi nenek tak marah.  Nenek cuma geleng kepala.

Dulu kalau kitorang balik rumah nenek, pastu malam kitorang keluar jalan-jalan cari pasal sama-sama kitorang kat bandar Melaka, pastu balik lambat, pun nenek tak pernah marah.  Paling tak pun nenek akan cakap, "Hei budak-budak ni.." sambil geleng kepala.

Kalau nenek dengar ni mesti nenek akan cakap, "Bila pulak tiap tahun kamu bukak puasa ngan beraya rumah aku?  Baru tahun lepas sekali je."

Eh, iye la nek, saya kan baru tahun lepas kawin ngan cucu nenek.  Tapi diorang memang tu la aktiviti tahunan.  He he..

Tapi itu dulu.  Sekarang nak buka puasa kat rumah nenek pun tak sempat.  Awal puasa lagi nenek dah masuk hospital.

Beberapa hari sebelum nenek pergi nenek suruh Mak Long beli kuih untuk atuk kat rumah.  Nenek dah lupa ke, atuk dah pergi bulan puasa tahun lepas.  Sayang betul nenek kat atuk.  Masa atuk ada dulu, tiap kali solat nenek mesti berjemaah dengan atuk.  Mana atuk pergi, nenek mesti ada sama.

Apa-apa pun, nenek tetap best.  Walaupun baru lima tahun kenal nenek tapi nenek sayang saya macam cucu-cucu dia yang lain.

Sayang nenek..

Selamat berbahagia di negeri abadi.  Al-Fatihah..

Wednesday, August 18, 2010

Bodoh dan pandai

(sumber gambar tidak diketahui)
Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut, ingin saya jelaskan bahawa penggunaan kata 'bodoh' di sini bukanlah bermaksud untuk berkasar bahasa walaupun 'bodoh' sememangnya bahasa yang kasar tetapi lebih kepada perbincangan ilmiah (konon?) yang mungkin ada unsur-unsur merapu di sana-sini.

Baiklah, mari kita teruskan.

Apa itu bodoh?  Bodoh ialah stupid (Nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus. Hee..).

Apa itu pandai? Pandai itu clever (Sama juga, nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus.  He he he..).

Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menghitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan tanpa beramal soleh). - Riwayat al-Tirmizi.

Kebodohan yang terbodoh adalah membodohkan diri sendiri.
Tapi kepandaian yang terpandai bukanlah memandai-mandai.
Setuju?

Apa-apalah..

Tuesday, August 17, 2010

Ucapan 30 Saat dari Bryan Dyson

Tadi saya ada menerima emel dari seorang teman.  Ucapan pendek tiga puluh saat oleh Bryan Dyson - bekas Ketua Pegawai Eksekutif Coca Cola.  Begini ucapan beliau:

    Bayangkan hidup sebagai satu permainan menimang (juggle) lima biji bola di udara.  Bola-bola itu adalah Kerja, Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat, dan kamu cuba mengekalkan lambungan bola-bola ini di udara.

    Lama kelamaan kamu akan faham bahawa Kerja adalah bola getah.  Andai bola getah itu terjatuh, ia akan kembali melantun.  Tetapi empat bola yang lain - Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat - diperbuat daripada gelas.  Andai salah satu terjatuh, ia akan selamanya tercalar, terguris, terbelah, retak, atau berkecai.  Ia tidak lagi akan sama dengan sebelumnya.  Kamu harus memahaminya dan berusaha untuk itu.

    Bekerjalah dengan efisien sewaktu di pejabat dan pulanglah tepat pada waktunya.  Luangkanlah waktu yang diperlukan kepada keluarga, rakan, dan dapatkan rehat yang cukup.

'Value has a value only if its value is valued'

*****

Teringat pula tujuh tahun lepas saya pernah memberikan ucapan sebelas patah perkataan pada malam penamaan calon.  Tengoklah, kalau ada 'mood' bercerita saya akan bercerita penglibatan saya dalam politik pada suatu masa dahulu.

Itupun kalau saya ada 'mood' la.  Hee...

Monday, August 16, 2010

Peraturan Jalan Raya - Dikemaskini


Lampu Isyarat


Hijau : Jalan

Kuning : Sedia

Merah : Pecut


Lorong jalan


Lorong kanan : Laju

Lorong tengah : Biasa

Lorong kiri : Memotong


'Signal'


'Signal' kiri : Belok kiri / tukar lorong kiri

'Signal' kanan : Belok kanan / memotong

'Hazard light' : Kecemasan

'High light' : Tepi, tepi wei, aku laju ni, aku langgar kang.

Friday, August 13, 2010

Apa Yang Kau Tahu??


Kes pembuangan bayi akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan akan dibuat berdasarkan DNA bayi terbabit yang akan membolehkan pihak berkuasa memberkas bukan saja ibu bayi tetapi juga bapa bayi tersebut. Itu berita yang saya dengar petang semalam.

Satu langkah yang saya rasa agak bijak. Tetapi fikirkan kesannya. Adakah ini dapat membendung gejala zina? Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Andai zina berterusan dan si pemudi termengandung, rasa-rasanya apa yang akan mereka lakukan? Ya, pengguguran - secara rela atau paksaan. Jangan lupa, pengguguran juga adalah pembunuhan.

Berbanding hari ini kita saban hari mendengar berita penemuan mayat bayi, kelak kita akan berhadapan dengan berita penemuan janin. Ada bezakah?



Membuang rumpai biar dari akarnya. Kalau sekadar mencantas daunnya lain hari ia akan kembali menghijau.

Maaf, bukan saya memperlekehkan langkah tersebut malahan saya turut menyokong. Tetapi kita lupa, undang-undang ciptaan manusia banyak kelemahannya. Selagi kita tidak kembali kepada undang-undang Pencipta kita, selagi itu solusinya tidak akan kita temui.

Hudud. Ramai yang mencebik bila mendengar perkataan ini. Pencuri dihukum potong tangan, penzina dihukum rejam, pembunuh dihukum bunuh, minum arak dihukum sebat. Setakat itu pengetahuan kita. Sangat sedikit sehingga kita tidak layak untuk berdebat mengatakan hukuman hudud tidak relevan.

Contoh, A berzina dengan B dan dijatuhkan hukuman rejam. Apa kesannya kepada masyarakat? Masyarakat tidak akan berani melakukan dosa zina, seterusnya tiada kes mengandung anak luar nikah, tiada kes anak tidak sah taraf, tiada kes pembuangan bayi, tiada kes pembunuhan bayi.

Kepada yang beranggapan hukuman hudud adalah kejam, sila tanya diri anda kembali, kejamkah pesalah zina dihukum mengikut hukum hudud atas kesalahan mereka sendiri. Diulangi, dihukum atas kesalahan mereka, bukan orang lain. Kejamkah? Kejamkah hukuman yang dijatuhkan jika hukuman itu mampu mendidik masyarakat dan memelihara keturunan serta mengelakkan pembunuhan bayi yang tidak berdosa? Kejamkah?

Atau biarkan saja mereka berzina dek tidak takut melakukan dosa dan hasilnya keluar berita mayat bayi ditemui dalam tandas dalam keadaan yang menyedihkan. Itu tidak kejam? Bayi yang suci tidak berdosa seolah-olah menerima hukuman perbuatan ibu bapa mereka. Atau jika hidup sekalipun, anak itu terpaksa menanggung pandangan sinis masyarakat terhadap mereka. Itu tidak kejam?

Selagi undang-undang dari Allah diketepikan kita akan menyaksikan banyak lagi penemuan mayat bayi, banyak lagi kes rogol dan bunuh, banyak lagi Nurin, banyak lagi Nurul Huda. Cukuplah. Hentikanlah. Kita sudah tenat.

Dunia makin tua dan kita makin nyanyuk. Apa-apa saja yang datang dari Allah kita cuba menolak dan menggantikan dengan ciptaan kita sendiri dengan alasan kita punya lebih baik.

Sedarkah kita Allah yang mencipta kita dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kita? Apa yang kita tahu?

p/s: Sekadar pandangan saya sebagai orang awam, bukan pengamal undang-undang, juga bukan ustazah.