Thursday, August 26, 2010

Belasungkawa


Nek Tin (pakai spek, tudung warna kuning air) di sebelah awek cun yang menopang dagu.
Al-Fatihah buat Nek Tin (Hjh. Entin binti Manap) yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ramadhan 1431 di Hospital Selayang.  Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.  Amin..

Nenek,

Dulu tiap-tiap tahun kitorang mesti balik rumah nenek kat Melaka untuk buka puasa sama-sama.  Meriah betul.  Lepas tu solat jemaah, lepas tu terbungkang kat ruang tamu sampai nenek nak lalu nak pasang ubat nyamuk pun susah.  Tapi nenek tak pernah marah.

Dulu tiap-tiap tahun kitorang balik beraya rumah nenek, kecoh rumah nenek dengan bunyi-bunyi mercun.  Pastu kitorang main baling-baling mercun kat pokok durian nenek, pokok rambutan nenek.  Tapi nenek tak marah.  Nenek cuma geleng kepala.

Dulu kalau kitorang balik rumah nenek, pastu malam kitorang keluar jalan-jalan cari pasal sama-sama kitorang kat bandar Melaka, pastu balik lambat, pun nenek tak pernah marah.  Paling tak pun nenek akan cakap, "Hei budak-budak ni.." sambil geleng kepala.

Kalau nenek dengar ni mesti nenek akan cakap, "Bila pulak tiap tahun kamu bukak puasa ngan beraya rumah aku?  Baru tahun lepas sekali je."

Eh, iye la nek, saya kan baru tahun lepas kawin ngan cucu nenek.  Tapi diorang memang tu la aktiviti tahunan.  He he..

Tapi itu dulu.  Sekarang nak buka puasa kat rumah nenek pun tak sempat.  Awal puasa lagi nenek dah masuk hospital.

Beberapa hari sebelum nenek pergi nenek suruh Mak Long beli kuih untuk atuk kat rumah.  Nenek dah lupa ke, atuk dah pergi bulan puasa tahun lepas.  Sayang betul nenek kat atuk.  Masa atuk ada dulu, tiap kali solat nenek mesti berjemaah dengan atuk.  Mana atuk pergi, nenek mesti ada sama.

Apa-apa pun, nenek tetap best.  Walaupun baru lima tahun kenal nenek tapi nenek sayang saya macam cucu-cucu dia yang lain.

Sayang nenek..

Selamat berbahagia di negeri abadi.  Al-Fatihah..

Wednesday, August 18, 2010

Bodoh dan pandai

(sumber gambar tidak diketahui)
Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut, ingin saya jelaskan bahawa penggunaan kata 'bodoh' di sini bukanlah bermaksud untuk berkasar bahasa walaupun 'bodoh' sememangnya bahasa yang kasar tetapi lebih kepada perbincangan ilmiah (konon?) yang mungkin ada unsur-unsur merapu di sana-sini.

Baiklah, mari kita teruskan.

Apa itu bodoh?  Bodoh ialah stupid (Nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus. Hee..).

Apa itu pandai? Pandai itu clever (Sama juga, nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus.  He he he..).

Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menghitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan tanpa beramal soleh). - Riwayat al-Tirmizi.

Kebodohan yang terbodoh adalah membodohkan diri sendiri.
Tapi kepandaian yang terpandai bukanlah memandai-mandai.
Setuju?

Apa-apalah..

Tuesday, August 17, 2010

Ucapan 30 Saat dari Bryan Dyson

Tadi saya ada menerima emel dari seorang teman.  Ucapan pendek tiga puluh saat oleh Bryan Dyson - bekas Ketua Pegawai Eksekutif Coca Cola.  Begini ucapan beliau:

    Bayangkan hidup sebagai satu permainan menimang (juggle) lima biji bola di udara.  Bola-bola itu adalah Kerja, Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat, dan kamu cuba mengekalkan lambungan bola-bola ini di udara.

    Lama kelamaan kamu akan faham bahawa Kerja adalah bola getah.  Andai bola getah itu terjatuh, ia akan kembali melantun.  Tetapi empat bola yang lain - Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat - diperbuat daripada gelas.  Andai salah satu terjatuh, ia akan selamanya tercalar, terguris, terbelah, retak, atau berkecai.  Ia tidak lagi akan sama dengan sebelumnya.  Kamu harus memahaminya dan berusaha untuk itu.

    Bekerjalah dengan efisien sewaktu di pejabat dan pulanglah tepat pada waktunya.  Luangkanlah waktu yang diperlukan kepada keluarga, rakan, dan dapatkan rehat yang cukup.

'Value has a value only if its value is valued'

*****

Teringat pula tujuh tahun lepas saya pernah memberikan ucapan sebelas patah perkataan pada malam penamaan calon.  Tengoklah, kalau ada 'mood' bercerita saya akan bercerita penglibatan saya dalam politik pada suatu masa dahulu.

Itupun kalau saya ada 'mood' la.  Hee...

Monday, August 16, 2010

Peraturan Jalan Raya - Dikemaskini


Lampu Isyarat


Hijau : Jalan

Kuning : Sedia

Merah : Pecut


Lorong jalan


Lorong kanan : Laju

Lorong tengah : Biasa

Lorong kiri : Memotong


'Signal'


'Signal' kiri : Belok kiri / tukar lorong kiri

'Signal' kanan : Belok kanan / memotong

'Hazard light' : Kecemasan

'High light' : Tepi, tepi wei, aku laju ni, aku langgar kang.

Friday, August 13, 2010

Apa Yang Kau Tahu??


Kes pembuangan bayi akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan akan dibuat berdasarkan DNA bayi terbabit yang akan membolehkan pihak berkuasa memberkas bukan saja ibu bayi tetapi juga bapa bayi tersebut. Itu berita yang saya dengar petang semalam.

Satu langkah yang saya rasa agak bijak. Tetapi fikirkan kesannya. Adakah ini dapat membendung gejala zina? Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Andai zina berterusan dan si pemudi termengandung, rasa-rasanya apa yang akan mereka lakukan? Ya, pengguguran - secara rela atau paksaan. Jangan lupa, pengguguran juga adalah pembunuhan.

Berbanding hari ini kita saban hari mendengar berita penemuan mayat bayi, kelak kita akan berhadapan dengan berita penemuan janin. Ada bezakah?



Membuang rumpai biar dari akarnya. Kalau sekadar mencantas daunnya lain hari ia akan kembali menghijau.

Maaf, bukan saya memperlekehkan langkah tersebut malahan saya turut menyokong. Tetapi kita lupa, undang-undang ciptaan manusia banyak kelemahannya. Selagi kita tidak kembali kepada undang-undang Pencipta kita, selagi itu solusinya tidak akan kita temui.

Hudud. Ramai yang mencebik bila mendengar perkataan ini. Pencuri dihukum potong tangan, penzina dihukum rejam, pembunuh dihukum bunuh, minum arak dihukum sebat. Setakat itu pengetahuan kita. Sangat sedikit sehingga kita tidak layak untuk berdebat mengatakan hukuman hudud tidak relevan.

Contoh, A berzina dengan B dan dijatuhkan hukuman rejam. Apa kesannya kepada masyarakat? Masyarakat tidak akan berani melakukan dosa zina, seterusnya tiada kes mengandung anak luar nikah, tiada kes anak tidak sah taraf, tiada kes pembuangan bayi, tiada kes pembunuhan bayi.

Kepada yang beranggapan hukuman hudud adalah kejam, sila tanya diri anda kembali, kejamkah pesalah zina dihukum mengikut hukum hudud atas kesalahan mereka sendiri. Diulangi, dihukum atas kesalahan mereka, bukan orang lain. Kejamkah? Kejamkah hukuman yang dijatuhkan jika hukuman itu mampu mendidik masyarakat dan memelihara keturunan serta mengelakkan pembunuhan bayi yang tidak berdosa? Kejamkah?

Atau biarkan saja mereka berzina dek tidak takut melakukan dosa dan hasilnya keluar berita mayat bayi ditemui dalam tandas dalam keadaan yang menyedihkan. Itu tidak kejam? Bayi yang suci tidak berdosa seolah-olah menerima hukuman perbuatan ibu bapa mereka. Atau jika hidup sekalipun, anak itu terpaksa menanggung pandangan sinis masyarakat terhadap mereka. Itu tidak kejam?

Selagi undang-undang dari Allah diketepikan kita akan menyaksikan banyak lagi penemuan mayat bayi, banyak lagi kes rogol dan bunuh, banyak lagi Nurin, banyak lagi Nurul Huda. Cukuplah. Hentikanlah. Kita sudah tenat.

Dunia makin tua dan kita makin nyanyuk. Apa-apa saja yang datang dari Allah kita cuba menolak dan menggantikan dengan ciptaan kita sendiri dengan alasan kita punya lebih baik.

Sedarkah kita Allah yang mencipta kita dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kita? Apa yang kita tahu?

p/s: Sekadar pandangan saya sebagai orang awam, bukan pengamal undang-undang, juga bukan ustazah.

Tuesday, August 10, 2010

Cita-cita Saya Nak Jadi Suri Rumah Sepenuh Masa. Salah Ke?

(Gambor Google)

Ya, itu impian saya - suri rumah sepenuh masa. Salah ke? Adakah berjaya diukur dari sudut kerjaya sahaja? Kalau saya menjadi seorang ketua jabatan sekalipun saya tetap akan memandang diri saya sebagai seorang yang belum berjaya sebab itu bukan cita-cita saya. Saya adalah seorang yang berjaya di pandangan mata saya sekiranya saya berjaya menjadi suri rumah sepenuh masa. Saya tak kisah apa pandangan orang lain. Masing-masing ada sudut pandangan sendiri.

Adakah 'kerjaya' sebagai seorang suri rumah adalah untuk orang yang tidak berpelajaran tinggi? Ramai juga suri rumah yang saya kenali adalah mereka yang berpelajaran tinggi. Salah ke menjadi suri rumah setelah belajar tinggi-tinggi? (Saya pun takde la belajar tinggi sangat pun. Hee..) Sia-sia ke? Tidak. Wanita yang berpelajaran tinggi akan menjadi suri rumah, isteri, dan ibu yang berkualiti dan menghasilkan anak yang berkualiti, membentuk keluarga yang berkualiti, seterusnya masyarakat yang berkualiti.

Tidak perlu lagi menggaji pengasuh. Asuhan yang terbaik datang daripada ibu sendiri. Setuju? Tidak perlu lagi menghabiskan duit untuk menghantar anak ke kelas tuisyen kalau ibu di rumah sudah cukup untuk mengajarkan mereka subjek-subjek di sekolah. Tidak perlu lagi bersusah payah mencari orang gaji, bayar gaji dan beri latihan.

Tidak perlu lagi berhadapan dengan risiko orang gaji yang tidak amanah. Kurang risiko jenayah kanak-kanak berikutan anak-anak dihantar dan dijemput dari sekolah oleh ibu sendiri. Kurang risiko tekanan. Wanita yang berkerjaya berisiko untuk menghidap tekanan perasaan dalam menghadapi hidup sebagai isteri, ibu dan pekerja. Kurang risiko kesihatan. Wanita berkerjaya selalu mempunyai pola tidur yang kurang teratur, mengantuk dan letih - kerja di tempat kerja, balik rumah buat kerja rumah - terpaksa korbankan waktu tidur untuk membereskan kerja-kerja rumah.

Isteri yang tidak bekerja dapat memberikan perhatian yang lebih kepada suami. Tiada lagi alasan penat di tempat kerja (walaupun kerja di rumah selalunya lebih memenatkan tapi kurang tekanan berikutan diselia dan dilakukan sendiri), mempunyai masa untuk menyiapkan diri, tidak perlu terkejar-kejar ke dapur selepas balik dari kerja, terkejar-kejar menguruskan anak, dengan rupa berserabai mengadap suami di meja makan.

Mungkin ada yang beranggapan saya mensia-siakan potensi? (eh, potensi apa ni?) Pelajar cemerlang sejak di bangku sekolah (Malu dengan statement ni sebenarnya. Eheh..), 'straight A' itu perkara biasa (Cis, statement berlagak!), kantoi sikit time SPM (Hee, malu..), tiga kali turun naik pentas di hari konvokesyen untuk menerima anugerah-anugerah, menghadiri sesi wawancara di RTM (takleh bagitau sebab apa. Tihihi.. Ngengado..), staf kesayangan (orang cakap la) masa bekerja di sebuah kilang (Mana tak sayang, bos offer post manager, korang caye tak? Time tu aku ingat bos dah hilang akal. Takde kaitan dengan bodek aaa. Haip!).

Jadi, agak-agak bila impian ini akan tercapai? Hmm...

p/s: Kerjaya sebagai suri rumah adalah sangat mencabar sebenarnya.

Monday, August 9, 2010

Doa Ramadhan Malaikat Jibril. Benarkah ia Wujud?


Saturday, 30 August 2008 18:00 syauqah 'asrar


Setiap kali Ramadhan semakin menjelang, pastinya saya akan menerima mesej yang difowardkan melalui yahoo mesengger tentang sebuah hadis berkaitan doa Jibril dan diaminkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam serta para Sahabat.

Hadis tersebut berbunyi:


Malaikat jibril Menjelang Ramadhan “Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:


* Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);

* Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami istri;

* Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.


” Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak3 kali. Saya sudah berusaha sedaya mampu saya mencarinya di dalam kitab-kitab hadis namun tidak saya temui. Malah kitab-kitab fiqh juga tidak membahaskan mengenai perlunya meminta maaf sebelum masuknya bulan Ramadhan bagi mengelakkan diabaikan puasa kita oleh Allah Subhana wa Ta’ala.


Kebanyakkan yang menyebarkan hadis itu sendiri tidak sedar bahawa tidak semua hadis itu sahih (authentic) hanya sekiranya ia menyatakan “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini”. Untuk lebih memahami hal berkaitan hadis dan larangan menyebarkan hadis yang tidak sahih atau diragui kesahihannya oleh penyebar, sila rujuk tulisan saya yang bertajuk Berdusta Ke Atas Rasulullah.


Saya tidak berani meletakkan darjat hadis tersebut (samada sahih, hasan, dhaif atau palsu) kerana biarlah mereka yang lebih alim dalam bidang hadis melakukannya. Cuma yang boleh saya katakan, saya (dan beberapa orang yang turut pernah menyemaknya) tidak menemui sebarang tanda yang boleh membawa kita menilai darjatnya. Sesiapa yang menyatakan ia sahih, sila kemukakan hujah dan bukti dan sampaikan pada saya agar saya boleh mendapat manfaat ilmu itu.


قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Katakanlah: Tunjukkanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang yang benar.[al-Baqarah 2:111]


Adapun terdapat hadis yang mirip dengan hadis yang difowardkan itu. Hadisnya adalah seperti berikut.


Daripada Jabir bin Abdullah radhiallahu’anhuma:


أن النبي صلى الله عليه وسلم رَقَى المِنبر فَلما رَقَى الدَّرجة الأُولى قال : ( آمِين ) ثُم رَقى الثَانية فَقال : ( آمِينَ ) ثُم رَقى الثَالثة فَقال : ( آمِينَ ) فقالوا : يا رسول الله سَمعنَاك تَقولُ : ( آمينَ ) ثَلاث مَرات ؟ قال : ( لَما رَقيتُ الدَّرجةَ الأُولى جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ، ثُم قَال شَقي عَبدٌ أَدرك والدَيهِ أَو أَحدَهُما فَلم يُدخِلاهُ الجنَّةَ . فَقلتُ : آمينَ . ثُم قَال شَقي عَبدٌ ذُكرتَ عِندهُ ولَم يُصلِ عَليك . فَقلتُ : آمينَ )


Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”.


Para sahabat bertanya.”Kenapa engkau berkata amin, amin, amin, wahai Rasulullah?”


Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata :


‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’.


Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’ “.


Kemudian Jibril berkata lagi.’Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’.”


[Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad dan dinilai Sahih Lighairihi oleh al-Albani di dalam Sahih Adab al-Mufrad – no: 644]


Ianya seakan-akan sama tetapi matan (isi kandungan) hadis tersebut nyata berbeza dan hadis ini sememangnya masyhur di dalam kitab-kitab yang membicarakan tentang Ramadhan.


Namun kini nampaknya hadis yang tidak diketahui sahih ataupun tidak itu pula telah menjadi lebih terkenal. Saya menulis bukan untuk membahaskan darjat hadis tersebut di sini tetapi fokus saya adalah berharap agar pembaca dalam membetulkan sikap dalam berinteraksi dengan hadis terutama yang kita tidak tahu sumbernya.


SIKAP KITA VS SIKAP PARA SAHABAT BERINTERAKSI DENGAN HADIS


Para Sahabat sekalipun pernah hidup di zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, mereka tidak mengamalkan sikap bermudah-mudahan dalam mennyampaikan hadis selepas kewafatan baginda. Mereka sangat teliti dan berhati-hati. Berbeza sekali dengan kita pada hari ini, dengar sahaja “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda” atau “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan itu dan ini” terus kita sebarkan siap berserta emoticon senyuman tanpa teliti dan berhati-hati.


Mari kita lihat satu contoh sikap berhati-hati para Sahabat apabila berinteraksi dengan hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.


Daripada Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata: Aku (Sa’id al-Khudri) sedang menghadiri majlis yang diadakan oleh kaum Ansar, kemudian Abu Musa datang mendekatiku, dia berkata: Aku (Abu Musa) telah mengucapkan salam tiga kali di hadapan pintu rumah Umar namun tidak mendapati jawapan, lalu aku pun pulang, kemudian aku ditanya orang: “Mengapa engkau pulang?” Aku telah mengucapkan salam tiga kali namun tidak mendapati jawapan, oleh sebab itu aku harus pulang, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam


: إذا استأذن أحدكم ثلاثاً فلم يؤذن له فليرجع


“Apabila kamu mengucapkan salam sebanyak tiga kali dan tidak mendapat jawapan maka hendaklah kamu pulang” Abu Sa’id berkata: Demi Allah engkau telah mengeluarkan satu penjelasan, adakah diantara kamu sekalian yang pernah mendengarkan apa yang telah didengar oleh Abu Musa daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Lalu Ubay bin Ka’ab berkata: Demi Allah tidak ada yang turut mendengarnya melainkan orang yang lebih muda diantara kami dan aku adalah orangnya, aku bersamanya semasa itu dan aku juga telah mengkhabarkan kepada Umar bahawa bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda sedemikian. [Sahih al-Bukhari – no: 5891]


Para Sahabat takut menjadi orang yang banyak meriwayatkan hadis dikhuatiri mereka terjerumus ke dalam kesilapan dan kesalahan, hingga akhirnya membawa mereka untuk berdusta ke atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, suatu perbuatan yang amat tercela dan mendapat ancaman yang sangat buruk daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. [Manna’ Khalil al-Qathan, Mabahats Ulumul Hadis (Cara Mudah Memahami Ilmu-Ilmu Hadis), ms. 66]


Ancaman yang dimaksudkan itu adalah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:


من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار


Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka. [Sahih Muslim – no: 3]


BERDIAM DIRI LEBIH BAIK


Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع


Cukup bagi seseorang itu sebagai pendusta dengan menceritakan apa sahaja yang dia dengar. [Sahih Muslim - hadis no: 5]


Sekiranya kita tidak pasti apabila menerima suatu hadis, kita ada tiga pilihan:

[1] Menyelidik dan menyemaknya bagi yang berkemampuan.

[2] Bertanya kepada yang lebih mengetahui terutama mengenai ilmu hadis .

[3] Berdiam diri daripada menyebarkannya sekiranya tidak mampu melakukan kedua-dua perkara diatas sehinggalah telah jelas hujah bahawa ianya sahih dan selamat disebarkan.

Contohilah sahabat yang begitu berhati-hati dalam meriwayatkan hadis kerana khuatir terjerumus dalam ancaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Ingatlah Firman Allah Subhana wa Ta’ala:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُول

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
[al-Isra’ 17:36]

*Artikel ini saya petik dari sini

(http://halaqah-online.com/)pada 21 Ogos 2009.

Monday, August 2, 2010

Apa Itu Bicara Cinta?


Cinta itu aku. Aku adalah Cinta. Oleh itu Bicara Cinta ialah kata-kata aku. Blog Bicara Cinta pula ialah blog tempat aku berbicara (baca: merapu) di alam adamaya untuk melampiaskan nafsu pemikiranku yang selalunya diklasifikasikan sebagai ntahapehapentah.

Pada awal penubuhannya blog ini kononnya ingin bertemakan penulisan serius lagi berilmu (sila sebut eleh..). Akhirnya melencong, menyimpang dan hampir sesat dengan bahan-bahan picisan diselang seli laporan aktiviti tuan blog yang asyik mengelat daripada memaparkan wajahnya secara jelas (tapi tak la ngelat abis macam joyah. heee..).

Kali ini sudah masuk kali ke tiga Blog Bicara Cinta menukar kepala blog. Kenapa? Saja-saja.

Namun niat asal untuk terus menggunakan Bahasa Melayu (sekarang dipanggil Bahasa Malaysia? Entah, tanyalah DBP. Selalu sangat tukar-tukar.) masih dapat dikekalkan (tepuk tepuk tepuk) walaupun terdapat perbendaharaan kata dan tatabahasa yang tidak pernah ada dalam sukatan pelajaran sistem pendidikan negara hasil evolusi bahasa yang berkembang pesat agar tidak pupus sebagaimana beberapa bahasa di dunia hari ini (kepupusan bahasa sila klik sini) sekaligus cuba untuk mengurangkan efek negatif PPSMI yang dianggap oleh blog ini sebagai program yang mengarut lagi merapu yang akan melahirkan bangsa Malaysia yang perasan seperti orang putih walau hakikatnya cakap bak Pua Chu Kang (tak salah berbahasa Inggeris tapi tolong lah jangan dalam proses pembelajaran sains dan matematik. Tolong la.).

(Eh, dah nak lunch. Daa..)