Friday, November 19, 2010

Salam Aidiladha

Hari ni dah masuk hari ketiga = 13 Zulhijjah 1431.  Dah lambat ke nak ucap salam aidiladha? Tak kan? Ok, salam aidiladha untuk semua pembaca Bicara Cinta.  Selamat berkorban.  Jangan terkorban.

Tuan rumah BC akhir-akhir ni perasan agak sibuk jadi dah lama tak update.  Sesekali nak mengelat aku tempek resepi-resepi yang budak darjah satu pun boleh buat.  Ada lagi stok nak mengelat ni tapi kalau tiap kali pun nak tempek resepi nanti jadi macam Asia Food Channel la pulak.

Selingan:

 Ni masa Piala Malaysia 2010 itu hari.  Muka seposen.

Adui...


Ok, nak membizikan diri balik ni.  Daaa...

Monday, November 15, 2010

Dari Dapur Ibu Mertuaku - Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:
Ikan bilis (mentah)
Cili merah
Cili padi (optional)
Limau kasturi

Cara-cara:
Tumbuk cili bersama ikan bilis hingga hancur kasar (bukan lumat ye).  Kemudian perah asam limau, dan gaul.

Siap.


Aduuh, senang banget nih.

Wednesday, November 10, 2010

Doa


Berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui.  Doa ialah pengabdian daripada seorang hamba kepada tuhannya. - Solusi isu no. 22.

Apa yang telah diberi oleh Allah lebih banyak daripada apa yang kita pinta - Solusi isu no. 22.

Wednesday, November 3, 2010

Dari Dapur Ibu Mertuaku - Kailan Stim

Memandangkan ibu mertuaku sangat terer masak, bermula hari ini saya akan berkongsi beberapa resepi yang sangat mudah tapi sedap yang saya cilok dari dapur beliau.

Kata beliau, ilmu resepi ni jangan kedokut.  Tak bawak masuk kubur pun.  Pergh, tabik lah bu.

Sebelum itu mari berkenalan dengan beliau.

Mesra dengan panggilan ibu tak kira anak-anak (dah tentu lah kan), anak-anak saudara, dan kawan-kawan anak-anak.

Ok, resepi untuk hari ini - Kailan Stim.  Saya pun tak tahu kenapa dipanggil kailan stim sebab kailan ni dicelur, bukan stim.  Hmm, apa-apalah.

Jom tengok bahan-bahan dia:
(nota: barang-barang asas kat dapur seperti minyak masak, air, dan sebagainya tak perlu lah saya senaraikan ye)

-Kailan
-Bawang putih
-Sos tiram

Alamak.. senangnya..

Ok, jom masak.

Mula-mula hempuk dan cincang kasar bawang putih, kemudian goreng.  Ok siap, tolak tepi dulu.

Sekarang jom kita settlekan kailan pula. Didihkan air dalam periuk, taruk minyak sikit, lebih kurang dua sudu besar (agak-agak lah ye).

Bila air dah mendidih, masukkan kailan.  Sebelum layu dan lembik, angkat dan letak dalam pinggan.

Tuangkan sos tiram atas kailan tadi dan taburkan bawang putih goreng.

Tada..
 

Senang kan?

Selamat mencuba!!

Monday, November 1, 2010

Perasan Macam Bagus??

Sekadar gambar hiasan.  Tiada niat nak menunjuk-nunjuk anak yang comel macam mamanya ini (sebenarnya takde rupa mamanya pun. huhuhu..
Kita ingat takabbur itu bercakap besar.  Kita ingat takabbur itu membangga diri.  Kita ingat takabbur itu orang yang 'act'nya lebih.  Kita ingat takabbur itu orang yang bermegah-megah.  Kita ingat orang yang takabbur itu orang yang suka meninggi diri dan merendahkan orang lain.

Tapi kita lupa bila kita ingat orang lain takabbur kita juga sebenarnya takabbur.  Sebab?  Sebab bila kita ingat orang lain takabbur otomatiknya kita ingat kita lebih bagus dari orang itu.  Perasaan bahawa kita lebih bagus dari orang lain itulah sebenarnya takabbur.

Bercakap besar, menunjuk-nunjuk, meninggi diri, 'ek' lebih, bermegah-megah, membangga diri dan merendahkan orang lain adalah petanda takabbur.

Bila kita lihat artis-artis tanah air pakai seksi dan kita mencemik lalu dalam hati kita perasan kita lebih bagus sebab kita bertudung tanpa menyedari baju kebaya yang kita sedang pakai itu terbelah kainnya.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila suami kita menegur kita yang sedang menceritakan gosip panas artis-artis Malaya kita mencebik kerana beranggapan dia yang hanya berkelulusan diploma tidak layak menegur kita yang ada ijazah.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila isteri kita menegur kita yang selalu mencarut-carut merungut Liverpool main macam hampeh kita menengking dan perasan bini kita derhaka kerana kita perasan sebagai suami kita adalah raja.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita melihat orang memandu melebihi had laju di lebuhraya kita menggeleng kepala dan dalam hati kita perasan bagus kerana kita tidak melebihi had laju tanpa menyedari kita memandu pada kelajuan 60 km/j di kawasan berhad laju 110 km/j dan menyebabkan kesesakan jalan.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita rasa tercabar, mulut kita lantang berkata "Dia belum tau siapa aku" dan membayangkan kita ada ramai konco-konco dan kawan-kawan kaki gaduh tanpa menyedari mereka sebenarnya tak boleh diharap untuk sebarang pertolongan.  Sendiri-sendiri perasan kita lebih hebat dan itu takabbur.

Bila kita mendengar bacaan orang yang baru belajar mengaji sedang dalam hati kita tersenyum sinis mendengar kesalahan-kesalahan bacaan kerana kita perasan bacaan kita lebih bagus walaupun usia kita jauh lebih muda dengan orang itu.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita memandu kereta mewah berseries-series dan dengan angkuhnya menyondol-nyondol bontot kereta di hadapan kerana rasa semacam bengang dengan kereta berprestasi rendah yang lembab.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila rakan kita terkial-kial menyiapkan tugasan sedang kita merasakan tugasan itu adalah sangat senang, lalu kita memandang rendah kepadanya dan perasan kita lebih terer dan itu takabbur.

Bila kita kaya raya dan punya rumah banglo dan deretan kereta mewah (yang hutang bank pun belum langsai) kita menunjuk-nunjuk dan rasa bangga dengan puji-pujian daripada saudara-mara dan kawan-kawan.  Kita perasan hebat dan itu takabbur.

Bila kita lihat kulit wajah kawan kita berjerawat dalam hati kita semacam timbul rasa bangga dengan kulit kita yang berseri.  Kita perasan kita lebih cantik dan itu takabbur.

Kita memandang hina pasangan-pasangan kekasih yang berpegangan tangan dan kita perasan kita lebih bagus kerana menjaga pergaulan dan itu takabbur.

Rasulullah SAW bersabda yg bermaksud: "sesiapa yg menghina seseorang kerana dosa yg pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut"- (riwayat al-tirmizi)


nota: kita patut benci dosa yang dilakukan mereka tapi jangan membenci mereka kerana itu hanya akan membuatkan kita perasan bagus.  Mungkin hari ini mereka berdosa tapi tidak mustahil suatu hari nanti mereka bertaubat dan mereka berkali-kali ganda lebih dekat dengan Allah.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. - Quran (al hadid (57:20))

Bak kata lagu Selimut Putih:

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan

Seluruh tubuh akan menggigil
Terkujur badan dan kedinginan

Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa keranda diusung


Jadi, pesan aku kepada diri sendiri, bawak-bawak lah sedar diri.

Jangan sombong.

Jangan angkuh.

Jangan riak.

Bak kata Too Phat - Walau semana kaya atau besar, tetap Allahu akbar.

p/s: Tulis entri pasal takabbur lepas tu perasan macam bagus pun takabbur juga.  Oh..