Friday, December 24, 2010

Pelik Tapi Benar

Ni aksi budak 8 bulan yang cuba minum air sirap dalam kole.  Pelik.  Tapi benar.

Kita merungut bila kita dapat bonus sikit tapi kita tak pernah sedar kita selalu datang kerja lambat.  (Selalu mengular pulak tu).
Pelik.
Tapi benar.

Seorang isteri yang berkerjaya yang tidur lambat kerana membereskan kerja-kerja rumah boleh bangun awal pagi sebelum subuh.  Seorang suami yang tidur awal kerana bosan tiada rancangan menarik di televisyen boleh terlajak subuh dan lambat ke tempat kerja.
Pelik.
Tapi benar.

Seorang ibu boleh membesarkan sepuluh orang anak.  Seorang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu.
Pelik.
Tapi benar.

Kita marah bila orang kata kita pondan tapi kita tak malu untuk naik koc keretapi yang dikhaskan untuk wanita.
Pelik.
Tapi benar.

Kita tidak mahu menjamah masakan rakan kita yang bukan beragama Islam walaupun tahu makanan itu halal tapi kita tidak teragak-agak untuk makan rasuah walaupun rasuah itu haram, jijik dan hina.
Pelik.
Tapi benar.

Kita sedang mengumpat anak jiran yang dimasukkan ke pusat pemulihan akibat ketagihan dadah.  Sambil-sambil tu kita hisap rokok.
Pelik.
Tapi benar.

Kita ingat dengan bertudung kita telah menutup aurat tapi bila kita tunduk atau duduk orang belakang kita boleh nampak seluar kecik kita yang berwarna pink bercorak strawberi.
Pelik.
Tapi benar.

Kita sangat risau kalau mekap kita ada cacat cela tapi kita tak pernah risau kalau perangai kita banyak cacat cela.
Pelik.
Tapi benar.

Kita selalu mengumpat para pemimpin kita tapi kita tak pernah mendoakan supaya mereka dan kita diberi hidayah.
Pelik.
Tapi benar.

Kita selalu berdoa supaya panjang umur tapi kita tak sedar walau lama pun kita hidup kita tetap akan mati.
Pelik.
Tapi benar.

Kita komplen bini kita tak pandai berhias tapi bila dia beli sebatang gincu yang berharga RM15 (sahaja, dan boleh tahan untuk satu tahun) kita kata dia membazir.
Pelik.
Tapi benar.

Kita komplen bila suami kita sangat suka duduk rumah dan susah untuk diajak keluar.  Orang lain komplen suami mereka susah untuk duduk di rumah dan sangat suka keluar.
Pelik.
Tapi benar.

Bila kita ada masalah dan selalu cakap orang lain yang beri kita masalah, sebenarnya kita yang bermasalah.
Pelik.
Tapi benar.

Kita jijik dengan babi tapi tak jijik melakukan perkara sumbang yang sebenarnya lebih jijik.
Pelik.
Tapi benar.

Mereka boleh pakai apa saja - dari pakaian sendat yang menampakkan bonjolan sana sini, hingga subang yang ditindik di pusat dan ditonjolkan d khalayak ramai, dan mereka menamakannya kebebasan dan hak.  Tapi bila kita berserban, bertudung atau berpurdah, mereka menamakannya pelampau agama.
Pelik.
Tapi benar.

Kita cakap kat kawan kita, "Bla bla bla.  Ni rahsia tau, kau jangan bagitau orang".  Lepas tu kawan kita bagitau kawan dia, "Bla bla bla.  Ni rahsia tau, kau jangan bagitau orang".  Lepas tu kawan dia bagitau kawan orang lain, "Bla bla bla.  Ni rahsia tau, kau jangan bagitau orang".  Lepas tu semua orang pun tau cerita rahsia tersebut.
Pelik.
Tapi benar.

Sebelum kahwin kita cakap kat awek kita "Demi cintaku padamu, lautan dalam pun sanggup kurenangi".  Lepas kahwin bila isteri minta tolong jemput di tempat kerja kita cakap, "Awak balik sendiri lah, hujan la, jalan mesti jam ni".
Pelik.
Tapi benar.

Daripada seratus orang yang takut hantu belum tentu ada seorang pun daripada mereka yang pernah nampak hantu.
Pelik.
Tapi benar.

Kita membesarkan anak-anak kita dengan cerita hantu dan bila mereka tidak berani ke tandas sendirian di malam hari kita salahkan mereka sebab menjadi penakut.
Pelik.
Tapi benar.

Bila doa kita tak dimakbulkan kita berani kata Allah tak dengar doa kita tapi bila kita dengar azan yang terang dan jelas ajak kita solat kita buat dekk je dan tak tergerak langsung hati kita untuk bersolat.
Pelik.
Tapi benar.

Mereka kata tuhan tidak wujud tapi bila mereka terkejut dan risau mereka kata "Oh my god!".
Pelik.
Tapi benar.

Mereka kata peristiwa Israk dan Mikraj itu tahyul tapi mereka percaya Santa Claus menghantar hadiah setiap tahun ke seluruh dunia di setiap rumah dalam satu malam dengan menaiki tandu yang diheret oleh beberapa ekor rusa yang boleh terbang.
Pelik.
Tapi benar.

Si blogger Bicara Cinta selalu perasan sibuk dan tak update blog.  Jadi dia bercadang nak membekukan ruang komen sebab kalau ada komen pun dia jarang buka blog jadi respon yang akan diberikan mungkin sudah melepasi tarikh luput.
Takde la pelik sangat pun.
Tapi benar.

Saturday, December 4, 2010

sindrom perasan bizi

bizi.
kerja.

bizi.

kerja.
bizi.

bizi.
hujung minggu pun kerja.

kat ofis internet kena block. nak blogging kat rumah budak kecik tu tak bagi.

hmm...

ngantuk la pulak...

esok nak gi bayar saman, nak jenguk rumah yang dah lama tinggal.

zzzzzz......

p/s:(dalam mimpi)
1-sila abaikan entri yang sia-sia ini.
2-tahniah untuk mrs.ecam.

Friday, November 19, 2010

Salam Aidiladha

Hari ni dah masuk hari ketiga = 13 Zulhijjah 1431.  Dah lambat ke nak ucap salam aidiladha? Tak kan? Ok, salam aidiladha untuk semua pembaca Bicara Cinta.  Selamat berkorban.  Jangan terkorban.

Tuan rumah BC akhir-akhir ni perasan agak sibuk jadi dah lama tak update.  Sesekali nak mengelat aku tempek resepi-resepi yang budak darjah satu pun boleh buat.  Ada lagi stok nak mengelat ni tapi kalau tiap kali pun nak tempek resepi nanti jadi macam Asia Food Channel la pulak.

Selingan:

 Ni masa Piala Malaysia 2010 itu hari.  Muka seposen.

Adui...


Ok, nak membizikan diri balik ni.  Daaa...

Monday, November 15, 2010

Dari Dapur Ibu Mertuaku - Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:
Ikan bilis (mentah)
Cili merah
Cili padi (optional)
Limau kasturi

Cara-cara:
Tumbuk cili bersama ikan bilis hingga hancur kasar (bukan lumat ye).  Kemudian perah asam limau, dan gaul.

Siap.


Aduuh, senang banget nih.

Wednesday, November 10, 2010

Doa


Berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita pinta, kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui.  Doa ialah pengabdian daripada seorang hamba kepada tuhannya. - Solusi isu no. 22.

Apa yang telah diberi oleh Allah lebih banyak daripada apa yang kita pinta - Solusi isu no. 22.

Wednesday, November 3, 2010

Dari Dapur Ibu Mertuaku - Kailan Stim

Memandangkan ibu mertuaku sangat terer masak, bermula hari ini saya akan berkongsi beberapa resepi yang sangat mudah tapi sedap yang saya cilok dari dapur beliau.

Kata beliau, ilmu resepi ni jangan kedokut.  Tak bawak masuk kubur pun.  Pergh, tabik lah bu.

Sebelum itu mari berkenalan dengan beliau.

Mesra dengan panggilan ibu tak kira anak-anak (dah tentu lah kan), anak-anak saudara, dan kawan-kawan anak-anak.

Ok, resepi untuk hari ini - Kailan Stim.  Saya pun tak tahu kenapa dipanggil kailan stim sebab kailan ni dicelur, bukan stim.  Hmm, apa-apalah.

Jom tengok bahan-bahan dia:
(nota: barang-barang asas kat dapur seperti minyak masak, air, dan sebagainya tak perlu lah saya senaraikan ye)

-Kailan
-Bawang putih
-Sos tiram

Alamak.. senangnya..

Ok, jom masak.

Mula-mula hempuk dan cincang kasar bawang putih, kemudian goreng.  Ok siap, tolak tepi dulu.

Sekarang jom kita settlekan kailan pula. Didihkan air dalam periuk, taruk minyak sikit, lebih kurang dua sudu besar (agak-agak lah ye).

Bila air dah mendidih, masukkan kailan.  Sebelum layu dan lembik, angkat dan letak dalam pinggan.

Tuangkan sos tiram atas kailan tadi dan taburkan bawang putih goreng.

Tada..
 

Senang kan?

Selamat mencuba!!

Monday, November 1, 2010

Perasan Macam Bagus??

Sekadar gambar hiasan.  Tiada niat nak menunjuk-nunjuk anak yang comel macam mamanya ini (sebenarnya takde rupa mamanya pun. huhuhu..
Kita ingat takabbur itu bercakap besar.  Kita ingat takabbur itu membangga diri.  Kita ingat takabbur itu orang yang 'act'nya lebih.  Kita ingat takabbur itu orang yang bermegah-megah.  Kita ingat orang yang takabbur itu orang yang suka meninggi diri dan merendahkan orang lain.

Tapi kita lupa bila kita ingat orang lain takabbur kita juga sebenarnya takabbur.  Sebab?  Sebab bila kita ingat orang lain takabbur otomatiknya kita ingat kita lebih bagus dari orang itu.  Perasaan bahawa kita lebih bagus dari orang lain itulah sebenarnya takabbur.

Bercakap besar, menunjuk-nunjuk, meninggi diri, 'ek' lebih, bermegah-megah, membangga diri dan merendahkan orang lain adalah petanda takabbur.

Bila kita lihat artis-artis tanah air pakai seksi dan kita mencemik lalu dalam hati kita perasan kita lebih bagus sebab kita bertudung tanpa menyedari baju kebaya yang kita sedang pakai itu terbelah kainnya.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila suami kita menegur kita yang sedang menceritakan gosip panas artis-artis Malaya kita mencebik kerana beranggapan dia yang hanya berkelulusan diploma tidak layak menegur kita yang ada ijazah.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila isteri kita menegur kita yang selalu mencarut-carut merungut Liverpool main macam hampeh kita menengking dan perasan bini kita derhaka kerana kita perasan sebagai suami kita adalah raja.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita melihat orang memandu melebihi had laju di lebuhraya kita menggeleng kepala dan dalam hati kita perasan bagus kerana kita tidak melebihi had laju tanpa menyedari kita memandu pada kelajuan 60 km/j di kawasan berhad laju 110 km/j dan menyebabkan kesesakan jalan.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita rasa tercabar, mulut kita lantang berkata "Dia belum tau siapa aku" dan membayangkan kita ada ramai konco-konco dan kawan-kawan kaki gaduh tanpa menyedari mereka sebenarnya tak boleh diharap untuk sebarang pertolongan.  Sendiri-sendiri perasan kita lebih hebat dan itu takabbur.

Bila kita mendengar bacaan orang yang baru belajar mengaji sedang dalam hati kita tersenyum sinis mendengar kesalahan-kesalahan bacaan kerana kita perasan bacaan kita lebih bagus walaupun usia kita jauh lebih muda dengan orang itu.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila kita memandu kereta mewah berseries-series dan dengan angkuhnya menyondol-nyondol bontot kereta di hadapan kerana rasa semacam bengang dengan kereta berprestasi rendah yang lembab.  Kita perasan kita lebih bagus dan itu takabbur.

Bila rakan kita terkial-kial menyiapkan tugasan sedang kita merasakan tugasan itu adalah sangat senang, lalu kita memandang rendah kepadanya dan perasan kita lebih terer dan itu takabbur.

Bila kita kaya raya dan punya rumah banglo dan deretan kereta mewah (yang hutang bank pun belum langsai) kita menunjuk-nunjuk dan rasa bangga dengan puji-pujian daripada saudara-mara dan kawan-kawan.  Kita perasan hebat dan itu takabbur.

Bila kita lihat kulit wajah kawan kita berjerawat dalam hati kita semacam timbul rasa bangga dengan kulit kita yang berseri.  Kita perasan kita lebih cantik dan itu takabbur.

Kita memandang hina pasangan-pasangan kekasih yang berpegangan tangan dan kita perasan kita lebih bagus kerana menjaga pergaulan dan itu takabbur.

Rasulullah SAW bersabda yg bermaksud: "sesiapa yg menghina seseorang kerana dosa yg pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut"- (riwayat al-tirmizi)


nota: kita patut benci dosa yang dilakukan mereka tapi jangan membenci mereka kerana itu hanya akan membuatkan kita perasan bagus.  Mungkin hari ini mereka berdosa tapi tidak mustahil suatu hari nanti mereka bertaubat dan mereka berkali-kali ganda lebih dekat dengan Allah.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. - Quran (al hadid (57:20))

Bak kata lagu Selimut Putih:

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan

Seluruh tubuh akan menggigil
Terkujur badan dan kedinginan

Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela kita

Janganlah mahu disanjung-sanjung
Engkau digelar manusia agung

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa keranda diusung


Jadi, pesan aku kepada diri sendiri, bawak-bawak lah sedar diri.

Jangan sombong.

Jangan angkuh.

Jangan riak.

Bak kata Too Phat - Walau semana kaya atau besar, tetap Allahu akbar.

p/s: Tulis entri pasal takabbur lepas tu perasan macam bagus pun takabbur juga.  Oh..

Friday, October 22, 2010

Perasaan Ingin Bermalas-malas


Saat ini aku terasa sangat ingin berbaring di atas sofa warna putih di sebuah bilik warna putih dengan langsir putih terbuai-buai dek angin sepoi-sepoi bahasa arab.  Huargh.. ngantuknya..

Monday, October 18, 2010

Kelebihan Rokok

Ini adalah rokok
Ini adalah kelebihan rokok
Banyak rokok, banyaklah kelebihannya

Boleh faham?
Tak faham?

Ah, sudahlah..

Friday, October 15, 2010

Langgam Pak Dogo



Tajuk Lagu: Langgam Pak Dogo
Penyanyi: M Nasir
Lagu/lirik: M Nasir/Loloq



Rindu menikam dek cinta Sita
Hilang bekas hilang sisa amarah
Bongkar akar bongkar mimpi Suralaya
Datang bingung berpaulan diambang yuda
Ajak menung bawah panji wilmana

Apa hikmah tersemat di balik perintah!
Temu hulu hilir menyusur
Adat hidup temukan mati
Jangan tuan terus masygul (duk nengu sugul )
Adat wira harus tahan uji

Ya kalau begitu aku berjanji
Hadapan teman ku yang berperkerti tinggi
Titian takdir seruncing manapun ku seberangi
Di mulut naga gemala sakti terkunci
Kan ku sambar ku rampas jadikan bukti

Langgam Dogol langgam keramat
Bisik-bisik dalam kelambu
Lagak bodoh tapi tapi bersengat
Sambil elak (bila ngelik ) dia main siku

Riwayat bermula dari dahulu
Pandang belakang tersangatlah jauh
Perlu menyilang irama dengan lagu
Kapal belayar usah dilabuhkan sauh !

Asal debu pasti pulang ke debu
Dari tegap bertimbuh baik rebah merempuh
Bersambunglah petir (litar) berdentum dentam
Hujan tak turun laut berlimpahan

Asyik (ghalik) merancang dendam seribu malam
Siang menerang semakin berganda rawan
(koho sie koho bergande rawe)
Keronsang terlekat kerana peniti
Hujan pelangi pula sebabkan igauan

Tidak terlintas nyawa dipertaruhkan
Dikandung badan !
Sesaat berangan terlepaslah habuan
Ikan tak dapat umpan pula hilang

Thursday, October 14, 2010

Spesis Makhluk di Jalan Raya

Hmm....
Pacat sakit gigi
Kenderaan yang berkelajuan 70km/j berada di lorong kanan di kawasan berhad laju 110km/j.

Siput sedut
Kenderaan yang pemandunya suka main brek di lebuhraya walaupun dalam keadaan tidak perlukan brek.

Langau
Motosikal yang penunggangnya suka cilok kiri cilok kanan tanpa sebab yang boleh diterima akal. Sekadar nak menunjuk-nunjuk konon-konon terer bawak moto tanpa menyedari bahawa aku bersimpati melihat mereka sendiri-sendiri perasan hebat gila.

Lalat
Kenderaan yang pemandunya macam meroyan kejap ke kiri kejap ke kanan konon-konon nak cepat (macam dia sorang je nak cepat. huh.) walaupun sudah terang lagi bersuluh aliran trafik sesak melekat padat.

Badak buat fashion show
Lori dengan muatan 40 kaki merangkak di lorong tengah. Udah namanya fashion show dah tentu-tentu kena catwalk tengah runway ye dak? Huhu..

Kerbau pendek
Kenderaan yang lajunya menggila yang menyondol-nyondol bontot kenderaan di hadapan.

Setakat ini saja pelajaran peribahasa kita untuk kali ini.

Petua Tembikai Manis


Dulu-dulu ada orang bagi petua ni kat saya.  Lupa pula siapa.  Kawan? Makcik? Nenek? Entah.  Tapi petua tu saya ingat sampai hari ni.

Orang tu kata kalau nak tembikai jadi manis, sebelum potong rendamkan sebiji buah tembikai tu dalam air garam.  Lepas tu keluarkan, bersihkan, lepas tu potong.

Tapi sampai hari ni saya belum cuba lagi petua ni jadi tak dapat dipastikan sejauh mana kebenarannya.

Nak cuba?

Tuesday, October 12, 2010

Menyanyi Adalah Terapi Yang Bagus

Semasa entri ini ditulis, kedengaran sayup-sayup suara merdu sang gadis menyanyi-nyanyi berselang seli bunyi ketukan keyboard.  Sesekali bunyi klik-klik tetikus umpama instrument muzik mengiringi nyanyian.

~di hati ini hanya tuhan yang tahu~
~di hati ini aku rindu padamu~
~lalalala~

lagu bertukar

~Embun pun takkan mampu menyubur sekuntum~
~Bunga yang layu pada musim luruh~
~Yang dulunya mekar disinar suria~
~Bila sudah kering pasti akan gugur~

lagu bertukar lagi

~Seribu impian pernah pun kita bina~
~Demi masa depan...~
~Tenggelam jauh dalam khayalan~
~Di buai alam mimpi~

lagi sekali tukar lagu

~Subhanallah~
~Alhamdulillah~
~Lailahaillallah~
~Allahu akbar~

tukar lagi sekali

~lalalalalala~
~mudah saja tambah air~
~lalalalalala~
~lalalalalaa~
~adabi~

Loh, lagu iklan pun masuk senarai.

Aku tunggu-tunggu juga bila lagu ni dia nak nyanyi:

~nini cokolat celup~
~celup celup~

Tapi sampai sekarang takde.  Agaknya dah lama terkeluar carta.

Macam tu lah hari-hari aku kat ofis.  Time kerja bos tak bagi dengar muzik.  Tapi ada juga muzik yang lalu sipi-sipi kat telinga ni.  Nasib baik le suara sedap.  Kalau tak, boleh  tertekan.

Kat ofis aku dengar orang nyanyi.  Dalam keta, laki aku lak yang dengar aku nyanyi.  Sedap tak sedap belakang kira.  Jangan komplen.

Tujuan aku nyanyi dalam kereta sebetulnya nak hilangkan mengantuk.  Lebih-lebih lagi kalau aku yang drive.  Tapi lepas nyanyi bukan ngantuk je hilang, semangat pun lebih berkobar-kobar.  Tiada lagi sindrom semangat yang hilang.

Patut la ramai orang yang suka karaoke.  Tapi aku ni pesen kalau suruh nyanyi time karaoke mula la penyakit malu-malu badak datang.  Allergic nyanyi depan orang.  Seram sejuk.  Jadi kalau karaoke aku selalu jadi geng paul moss.

Jadi, lain kali kalau korang rasa tertekan ke, boring ke, ngantuk ke, sila lah cuba terapi nyanyi.  Nyanyi slow-slow je.  Adjust volume paling rendah.  Bukan apa, takut-takut orang yang dengar tu bukan peminat genre lagu yang korang bawak.  Tekanan tu.

Inilah si gadis yang nyanyi lagu iklan adabi kat ofis aku

Monday, October 11, 2010

Isteri Untuk Suamiku

Satu hari aku sembang ibu-ibu dengan seorang kawan yang bakal menjadi ibu tidak lama lagi.  Topik berkisar pasal bla bla bla.. topik biasa perbincangan ibu-ibu yang muda dan vogue (macam aku. hee..).

Aku tanya dia pasal persiapan menjadi ibu, dia tanya aku macam mana jadi ibu, dia tanya aku pasal anak aku, aku tanya dia pasal anak dia yang tengah seronok enjoy curi-curi dengar perbualan kitorang, dia tanya umur anak aku, aku jawab ler dah enam bulan, dia tanya aku pasal bla bla blaa..  Akhirnya sampai bab pengasuh.
Dia: Anak awak mak mentua awak lagi yang jaga kan?
Aku: Ha ah.
Dia: Jadi sampai hari ni awak ulang alik Seremban KL?
Aku: Ha ah.
Dia: Rumah yang kat KL sekarang takde orang duduk lah ye?
Aku: Ha ah.
Dia: Apakata awak gaji bibik.
Aku: Ha ah, banyok ler sangat duit den.

(p/s: perbualan di atas telah mengalami perubahan drastik dari segi matan tetapi masih membawa maksud yang sebetulnya).

Selepas perbualan tersebut hati aku berkira-kira.

Lalu hati berbicara...

(Sila baca dengan suara bergema di awang-awangan)

Kalau nak gaji bibik, mau makan ribu-ribu jugak ni.  Belum kira lagi nak bayar dia bulan-bulan, tempat tinggal dia, makan minum dia, tiket kapal terbang lagi.  Ye la, kalau dah namanya bibik sah sah la made in Indonesia.

Kalau macam tu lagi baik aku cari sorang perempuan yang baeeekkk punya, pinang dia, suruh dia kahwin laki aku dengan syarat dia tak payah keja.  Duk rumah diam-diam jaga anak aku (Muahahah..).

Kalau aku nak pinang bini nombor dua untuk laki aku, hantaran pun lebih kurang duit nak uruskan nak amik maid, duit nafkah bulan-bulan lebih kurang macam gaji bulan-bulan untuk maid, tempat tinggal ngan makan minum of kos lah kan.  Tiket kapal terbang tak payah la kot, sama-sama drive balik kampung.

Kelebihan dia?  Dah tentu-tentu ler sah laki aku yang punya.  Kalau gajikan maid, duit habis ribu raban, tenaga dan masa habis bagi briefing bagi training, tapi sampai masa angkat kaki babbai.  Pelaburan kurang menguntungkan.  Jangka pendek.

Ada lagi, anak-anak membesar dengan mak nombor dua diorang, bukan orang gaji.  Ada lagi, bibik jaga sebab duit, bini nombor dua jaga dengan tanggungjawab dan kasih sayang.  So, mana lagi ikhlas?  Kan? Ada lagi, aku tak payah risau laki aku ada skandal dengan bibik.  Skandal mende kalau dah sah laki bini.  Ye dak?  Ada lagi, kalau aku penat aku suruh je bini nombor dua amik turn aku layan laki.  Kan?  Ada lagi, takde la aku buat kerja rumah sorang-sorang.  Ada lagi, isy, malas la nak cakap banyak.  Lu pikir la sendiri.  Ngehh..

Plingg... (Kabus di awang-awangan hilang)

Begitulah adanya bicara di hatiku.  Bukan aku nak sangat laki aku kahwin lain, cuma aku rasa itu antara penyelesaian yang baik untuk beberapa masalah rumah tangga.

Ramai isteri sebenarnya boleh menerima poligami tapi tak ramai yang berani mengaku.  Sebab?  Sebab ramai lelaki sebenarnya tidak mampu untuk berlaku adil.  Percaya tak?  Betul, tak tipu.  Berapa ramai lelaki yang berpoligami tapi mengabaikan anak bini?  Ramai..  Berapa ramai lelaki yang berpoligami tapi tak tau jaga hati bini?  Ramai.. Berapa ramai lelaki yang berpoligami tapi solat lima waktu pun rongak?  Ramai...  Berapa ramai lelaki yang mendabik dada mengaku hebat tapi hakikatnya balik dari kerja, terlentang depan tv.  Penat katanya.  Hebat mende? Sedang isteri balik kerja terus terkejar ke dapur, terkejar-kejar urus anak, terkejar-kejar kemas rumah.  Siapa lagi hebat sebenarnya?

Jangan ingat gaji besar sudah dikira mampu.  Banyak lagi yang perlu diukur.

Ops, sebelum terlupa, tau tak korang bahawa dalam banyak-banyak agama, Islam sahaja yang MEMBENARKAN kahwin empat tapi MEMERINTAHKAN kahwin satu.

Diulangi, kahwin empat adalah DIBENARKAN tapi kahwin satu adalah satu PERINTAH.

Tak percaya?  Ok, kita intai dulu apa kata agama lain.

*Carilah dalam mana-mana kitab Budha sekalipun, takkan jumpa perintah 'KAHWINLAH HANYA SATU', tapi kita akan banyak jumpa tentang dewa yang kahwin ramai dewi.

*Carilah dalam mana-mana Veda Hindu sekalipun, takkan jumpa perintah 'KAHWINLAH HANYA SATU', tapi kita akan banyak jumpa tentang dewa yang kahwin beratus-ratus dewi.  Malah ada yang kahwin dengan anak sendiri.  Ngeri tak?  Tak nak cakap banyak, kalau nak tahu lebih lanjut, sila mulakan penyiasatan sendiri.

*Carilah dalam kitab-kitab Injil, Taurat dan Talmud, kita akan jumpa ayat-ayat yang menceritakan tentang nabi-nabi yang beristeri lebih dari satu tapi kita takkan jumpa ayat 'KAHWINLAH HANYA SATU'.

(*Berdasarkan ceramah yang saya dengar daripada saudara Syah Kirik beberapa tahun lalu.  Beliau adalah bekas sami Hindu.)

Ok, sekarang mari kita buka al-Quran, kitab yang ramai antara kita cuma baca bila ada kematian dan tak terlintas langsung untuk meneliti kandungannya.

وَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تُقۡسِطُواْ فِى ٱلۡيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثۡنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ‌ۖ فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا تَعۡدِلُواْ فَوَٲحِدَةً أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُواْ
(٣)


An-Nisa ( 4:3 )

Maksud:

"Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengawininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya".

Perkataan kahwinlah hanya satu jelas terdapat di dalam al-Quran menggunakan fiil amar (dalam bahasa Arab, fiil amar berfungsi sebagai ayat perintah dan jika dijumpai di dalam ayat-ayat al-Quran suruhan itu akan jatuh hukum wajib sebagaimana ayat 'tunaikanlah solat' dan sebagainya.  Untuk keterangan lanjut sila tanya ustaz yang bertauliah).

Jadi kepada sesiapa yang mengatakan Islam MENYURUH kahwin empat, percayalah, kebodohan kalian akan terserlah.  Diulangi, Islam tak suruh kahwin empat, Islam MEMBENARKAN kahwin empat tapi MENYURUH kahwin satu.  Clear?

Banyak lagi isu kalau nak bincang pasal poligami ni.

Poligami adalah bagus sebenarnya tapi sikap manusia yang macam hampeh yang telah menyalahgunakan poligami.

Elakkanlah diri anda daripada menjadi hampeh.


Apa-apalah..

Saturday, October 2, 2010

Ibu

 * ketika berusia setahun, ibu suapkan makanan dan mandikan kita. cara kita ucapkan terima kasih kepadanya hanyalah dengan menangis sepanjang malam.

* apabila berusia 2 tahun, ibu mengajar kita bermain, kita ucapkan terima kasih dengan lari sambil ketawa terkekeh-kekeh apabila dipanggil.

* menjelang usia kita 3 tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuh rasa kasih sayang, kita ucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan ke lantai.

* ketika berusia 4 tahun, ibu membelikan sekotak pensel warna, kita ucapkan terima kasih dengan menconteng dinding.

* berusia 5 tahun, ibu membelikan sepasang pakaian baru, kita ucapkan terima kasih dengan bergolek-golek dalam lopak kotor.

* setelah berusia 6 tahun, ibu memimpin tangan kita ke sekolah, kita ucapkan terima kasih dengan menjerit : "tak nak! tak nak!"

* apabila berusia 7 tahun, ibu belikan sebiji bola. cara mengucapkan terima kasih ialah kita pecahkan cermin tingkap jiran.

* menjelang usia 8 tahun, ibu belikan aiskrim, kita ucapkan terima kasih dengan mengotorkan pakaian ibu.

* ketika berusia 9 tahun, ibu menghantar ke sekolah, kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan ponteng kelas.

* berusia 10 tahun ibu menghabiskan masa sehari suntuk menemankan kita ke mana saja, kita ucapkan terima kasih dengan tidak bertegur sapa dengannya.

* apabila berusia 12 tahun, ibu menyuruh membuat kerja sekolah, kita ucapkan terima kasih dengan menonton televisyen.

* menjelang usia 13 tahun, ibu suruh pakai pakaian yang menutup aurat, kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan memberitahu bahawa pakaian itu tidak sesuai zaman sekarang.

* ketika berusia 14 tahun, ibu terpaksa mengikat perut untuk membayar wang persekolahan dan asrama, kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan tidak menulis sepucuk surat pun.

* berusia 15 tahun, ibu pulang daripada kerja dan rindukan pelukan dan ciuman, kita ucapkan terima kasih dengan mengunci pintu bilik.

* menjelang usia 18 tahun, ibu menangis gembira apabila mendapat tahu kita diterima masuk ke ipta,kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan bersuka ria bersama kawan-kawan.

* ketika berusia 19 tahun, ibu bersusah payah membayar yuran pengajian, menghantar ke kampus dan mengheret beg besar ke asrama, kita hanya ucapkan selamat jalan pada ibu di luar asrama kerana malu dengan kawan-kawan.

* berusia 20 tahun, ibu bertanya sama ada kita ada teman istemewa,kita kata, "?itu bukan urusan ibu."

* setelah berusia 21 tahun, ibu cuba memberikan pandangan mengenai kerjaya, kita kata, "saya tak mahu jadi seperti ibu."

* apabila berusia 22-23 tahun, ibu membelikan perabot untuk rumah bujang kita. di belakang ibu kita katakan pada kawan-kawan? . "perabot pilihan ibu aku tak cantik, tak berkenan akuuu!"

* menjelang usia 24 tahun, ibu bertemu dengan bakal menantunya dan bertanyakan mengenai rancangan masa depan, kita menjeling dan merungut, "ibuuu, tooooolonglahhh? ."

* ketika berusia 25 tahun, ibu bersusah payah menanggung perbelanjaan majlis perkahwinan kita. ibu menangis dan memberitahu betapa dia sangat sayangkan kita tapi kita ucapkan terima kasih kepadanya dengan berpindah jauh.

* pada usia 30 tahun, ibu menelefon memberi nasihat dan petua mengenai penjagaan bayi, kita dengan megah berkata,"? itu dulu, sekarang zaman moden."

* ketika berusia 40 tahun, ibu menelefon mengingatkan mengenai kenduri-kendara di kampung, kita berkata, "kami sibuk, tak ada masa nak datang."

* apabila berusia 50 tahun, ibu jatuh sakit dan meminta kita menjaganya, kita bercerita mengenai kesibukan dan kisah-kisah ibu bapa yang menjadi beban kepada anak-anak.

* dan kemudian suati hari, kita mendapat berita ibu meninggal! khabar itu bagaikan petir! dalam lelehan air mata, barulah segala perbuatan kita terhadap ibu menerpa satu persatu.

jika ibu masih ada , sayangi dia. jika telah meninggal, ingatlah kasih dan sayangnya. sayangilah ibu kerana kita semua hanya ada seorang ibu kandung.

Sumber: Emel forward
 

Friday, October 1, 2010

Kenangan Bersama Cik Angsa

Masa: Sebelas tahun yang lalu
Tempat: Halaman rumah kat kampung
Baju petak-petak: Saya
Budak kecik: Mei mei
Binatang: Cik Angsa
Background belakang: Reban ayam

 Sebelas tahun yang lalu: Masih bersekolah

 Halaman rumah di kampung: Takde la beza sangat dengan sekarang

 Saya: Sekarang agak feminin (cewahh..)

Mei mei: Sekarang lagi lawa (hee..)

Cik Angsa: Sudah meninggalkan dunia.  Diganti dengan Pn. Itik.

 Reban ayam: Sudah renovate

(Nama je kenangan bersama Cik Angsa, tapi cerita Cik Angsa ada sekerat dua je.  Ngeehh..)

Tuesday, September 28, 2010

Stail Tidur Paling Rare


 Pastikan posisi badan 90°


 Lebih afdal lagi kalau ibu jari dalam mulut.


Syok kan tidur macam ni?  Memang stail.

Thursday, September 23, 2010

Sedekah

Di satu hari yang hening waktu aku tengah buat-buat sibuk dengan muka serius gaban mengadap komputer (padahal mengular jalan-jalan cari pasal kat blog kawan-kawan) sambil tangan sesekali belek-belek drawing di sisi (wayang..), datanglah sepucuk surat yang ade beberapa ruang kosong untuk diisi - nama, jumlah, tandatangan, dan di'staple'kan bersama sekeping sampul yang dalam tu ade kertas bermacam kaler - biru, hijau, merah (duit la tu.. cakap duit je kan senang. ehehe..).  Kat kepala surat tu tertulis:

Bismillahirrahmanirrahim.. (dalam tulisan arab).
Derma untuk rumah anak yatim xxx.
XXX (nama persatuan kebajikan di tempat kerja aku).

Lalu aku bukak wallet dan mengira kepingan kertas dalam wallet.  Ade tiga keping kaler merah, sekeping kaler hijau, sembilan keping kaler biru.  Otak aku yang tengah suam-suam kuku berkira-kira, tengah hari ni nak makan nak kena spare seploh, nak top up kedit henpon seploh, jadi ade lagi belen dopopat hengget.

Aku kuarkan sekeping kaler hijau, tiba-tiba aku masukkan balik, sayang pulak rasanya nak pakai duit sekeping lima hengget.  Lagipun kang nanti kalau sampai lagi surat yang sedemikian rupa aku nak bagi apa?  Lalu aku kuarkan tiga keping kaler biru dan masukkan dalam sampul.  Kat ruang nama aku isi 'hamba Allah', kat ruang jumlah aku letak RM 3 dan aku sain la lebih kurang sambil hatiku berkata 'nilai tak penting, yang penting ikhlas' (ikhlas ke aku?) pastu aku pass kat member sebelah aku (merangkap member sepergosipan).  Pastu aku sambung balik wayang yang tergendala.

Aku tak tau la ramai ke orang yang buat tindakan macam yang aku buat tu.  Nak bersedekah nak kena kira dulu duit cukup untuk diri sendiri.  Kalau rasa macam tak cukup (sebenarnya lebih dari cukup pun, tapi tu lah, hati tak yakin rezeki tu dari Allah), boleh pulak dibatalkan niat nak bersedekah tu.

Kalau bab nak bersedekah cukup berkira.  Tapi kalau bab shopping, berdating, update gajet, tengok wayang, dan ntahapehapentah tu habis beratus, beribu, pun tak kisah.  Manusia macam aku memang macam tu.  Pentingkan diri sendiri.  Peduli apa orang lain tak makan, janji aku hidup selesa, makan pakai semua cukup, berlibur lebih kurang, shopping apa patut.

Ustazah aku masa sekolah dulu pernah cakap, dalam setiap rezeki yang Allah bagi ada hak untuk orang lain.  Sebab tu ada zakat.  Sebab tu Allah suruh bersedekah.  Maksudnya, kalau gaji kita dua ribu sebulan, tak bermakna dua ribu tu hak mutlak kita.

Kadang-kadang Allah tak bagi direct, Allah suruh orang yang mampu bersedekah kepada yang kurang mampu, jadi yang menerima akan berterima kasih dan bersyukur, dan yang memberi akan insaf dan merendah diri, dan kasih sayang akan terbina.  Takkan ada kes orang miskin dengki dengan orang kaya.  Takkan ada kes orang kaya aniaya orang miskin.

Sedekah ni macam pelaburan.  Keuntungannya adalah rahmat Allah.  Bila dirahmati, hidup tak gelisah, mati pun tak susah.  Apa guna wang ringgit berkoyan-koyan kalau hati tak bahagia.

Kesimpulannya?  Janganlah berkira sangat kalau nak bersedekah.  Kalau dah terniat tu teruskanlah.  Jangan batalkan.  Duit akan habis juga nanti.  Alang-alang, biarlah habis ke jalan yang baik.

Doakan aku berjaya membuat anjakan paradigma dalam diri aku.

Tuesday, September 21, 2010

Mengimbau Kenangan - Sebuah Alat yang Hampir Pupus

Anak-anak bapak
Sekitar tahun 80-an, sambil berdendang seorang ayah mengayuh basikal dengan seorang budak perempuan lima tahun nyanyi-nyanyi kecil di carrier tambahan di hadapan, seorang budak perempuan darjah dua di carrier belakang, dan seorang budak lelaki darjah tiga membuntuti dengan basikal kecil ala-ala basikal ketua penyamun dalam filem Ali Baba dan 40 penyamun.

Bersiar-siar di waktu petang sambil menunggu keretapi lalu.  Teruja benar budak perempuan lima tahun itu melihat keretapi lalu.

*****

Testing, testing.  Buleh caye ke benda alah ni?
Lebih dua puluh tahun kemudian, budak perempuan lima bulan pula duduk di atas baby carrier tradisional itu, sama macam mamanya dulu.  Bezanya? Beliau kelihatan agak jakun melihat alat yang semakin pupus itu.

Ape pandang?
Berbeza dengan mamanya lebih dua puluh tahun dulu yang enjoy menyanyi-nyanyi di atas carrier itu, beliau enjoy menggigit pemegang carrier.

Ngap ngap..

Friday, September 3, 2010

سلام عيد الفطر


Assalamualaikum

Sempena Ramadhan yang mulia
dan Syawal yang bakal menjelma
saya menyusun sepuluh jari
mohon dimaafi segala dosa
salah dan silap saya
sedar atau tidak
harap diampunkan

Kepada yang memandu
pandu cermat
banyak bersabar
bertolak ansur
bersangka baik
minta maaf dan memaafkan
hormat menghormati sesama pengguna jalan raya
(diorang pun bayar cukai juga. hee..)
Jangan bongok bongkak di jalan raya

Doakan kami selamat di sepanjang perjalanan

Terima kasih semua

Selamat Hari Raya!!

p/s: jumpa dua minggu lagi.

Thursday, August 26, 2010

Belasungkawa


Nek Tin (pakai spek, tudung warna kuning air) di sebelah awek cun yang menopang dagu.
Al-Fatihah buat Nek Tin (Hjh. Entin binti Manap) yang telah kembali ke rahmatullah pada 14 Ramadhan 1431 di Hospital Selayang.  Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.  Amin..

Nenek,

Dulu tiap-tiap tahun kitorang mesti balik rumah nenek kat Melaka untuk buka puasa sama-sama.  Meriah betul.  Lepas tu solat jemaah, lepas tu terbungkang kat ruang tamu sampai nenek nak lalu nak pasang ubat nyamuk pun susah.  Tapi nenek tak pernah marah.

Dulu tiap-tiap tahun kitorang balik beraya rumah nenek, kecoh rumah nenek dengan bunyi-bunyi mercun.  Pastu kitorang main baling-baling mercun kat pokok durian nenek, pokok rambutan nenek.  Tapi nenek tak marah.  Nenek cuma geleng kepala.

Dulu kalau kitorang balik rumah nenek, pastu malam kitorang keluar jalan-jalan cari pasal sama-sama kitorang kat bandar Melaka, pastu balik lambat, pun nenek tak pernah marah.  Paling tak pun nenek akan cakap, "Hei budak-budak ni.." sambil geleng kepala.

Kalau nenek dengar ni mesti nenek akan cakap, "Bila pulak tiap tahun kamu bukak puasa ngan beraya rumah aku?  Baru tahun lepas sekali je."

Eh, iye la nek, saya kan baru tahun lepas kawin ngan cucu nenek.  Tapi diorang memang tu la aktiviti tahunan.  He he..

Tapi itu dulu.  Sekarang nak buka puasa kat rumah nenek pun tak sempat.  Awal puasa lagi nenek dah masuk hospital.

Beberapa hari sebelum nenek pergi nenek suruh Mak Long beli kuih untuk atuk kat rumah.  Nenek dah lupa ke, atuk dah pergi bulan puasa tahun lepas.  Sayang betul nenek kat atuk.  Masa atuk ada dulu, tiap kali solat nenek mesti berjemaah dengan atuk.  Mana atuk pergi, nenek mesti ada sama.

Apa-apa pun, nenek tetap best.  Walaupun baru lima tahun kenal nenek tapi nenek sayang saya macam cucu-cucu dia yang lain.

Sayang nenek..

Selamat berbahagia di negeri abadi.  Al-Fatihah..

Wednesday, August 18, 2010

Bodoh dan pandai

(sumber gambar tidak diketahui)
Sebelum kita berbincang dengan lebih lanjut, ingin saya jelaskan bahawa penggunaan kata 'bodoh' di sini bukanlah bermaksud untuk berkasar bahasa walaupun 'bodoh' sememangnya bahasa yang kasar tetapi lebih kepada perbincangan ilmiah (konon?) yang mungkin ada unsur-unsur merapu di sana-sini.

Baiklah, mari kita teruskan.

Apa itu bodoh?  Bodoh ialah stupid (Nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus. Hee..).

Apa itu pandai? Pandai itu clever (Sama juga, nak tahu lebih lanjut, sila semak kamus.  He he he..).

Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menghitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan tanpa beramal soleh). - Riwayat al-Tirmizi.

Kebodohan yang terbodoh adalah membodohkan diri sendiri.
Tapi kepandaian yang terpandai bukanlah memandai-mandai.
Setuju?

Apa-apalah..

Tuesday, August 17, 2010

Ucapan 30 Saat dari Bryan Dyson

Tadi saya ada menerima emel dari seorang teman.  Ucapan pendek tiga puluh saat oleh Bryan Dyson - bekas Ketua Pegawai Eksekutif Coca Cola.  Begini ucapan beliau:

    Bayangkan hidup sebagai satu permainan menimang (juggle) lima biji bola di udara.  Bola-bola itu adalah Kerja, Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat, dan kamu cuba mengekalkan lambungan bola-bola ini di udara.

    Lama kelamaan kamu akan faham bahawa Kerja adalah bola getah.  Andai bola getah itu terjatuh, ia akan kembali melantun.  Tetapi empat bola yang lain - Keluarga, Kesihatan, Sahabat dan Semangat - diperbuat daripada gelas.  Andai salah satu terjatuh, ia akan selamanya tercalar, terguris, terbelah, retak, atau berkecai.  Ia tidak lagi akan sama dengan sebelumnya.  Kamu harus memahaminya dan berusaha untuk itu.

    Bekerjalah dengan efisien sewaktu di pejabat dan pulanglah tepat pada waktunya.  Luangkanlah waktu yang diperlukan kepada keluarga, rakan, dan dapatkan rehat yang cukup.

'Value has a value only if its value is valued'

*****

Teringat pula tujuh tahun lepas saya pernah memberikan ucapan sebelas patah perkataan pada malam penamaan calon.  Tengoklah, kalau ada 'mood' bercerita saya akan bercerita penglibatan saya dalam politik pada suatu masa dahulu.

Itupun kalau saya ada 'mood' la.  Hee...

Monday, August 16, 2010

Peraturan Jalan Raya - Dikemaskini


Lampu Isyarat


Hijau : Jalan

Kuning : Sedia

Merah : Pecut


Lorong jalan


Lorong kanan : Laju

Lorong tengah : Biasa

Lorong kiri : Memotong


'Signal'


'Signal' kiri : Belok kiri / tukar lorong kiri

'Signal' kanan : Belok kanan / memotong

'Hazard light' : Kecemasan

'High light' : Tepi, tepi wei, aku laju ni, aku langgar kang.

Friday, August 13, 2010

Apa Yang Kau Tahu??


Kes pembuangan bayi akan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan siasatan akan dibuat berdasarkan DNA bayi terbabit yang akan membolehkan pihak berkuasa memberkas bukan saja ibu bayi tetapi juga bapa bayi tersebut. Itu berita yang saya dengar petang semalam.

Satu langkah yang saya rasa agak bijak. Tetapi fikirkan kesannya. Adakah ini dapat membendung gejala zina? Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Andai zina berterusan dan si pemudi termengandung, rasa-rasanya apa yang akan mereka lakukan? Ya, pengguguran - secara rela atau paksaan. Jangan lupa, pengguguran juga adalah pembunuhan.

Berbanding hari ini kita saban hari mendengar berita penemuan mayat bayi, kelak kita akan berhadapan dengan berita penemuan janin. Ada bezakah?



Membuang rumpai biar dari akarnya. Kalau sekadar mencantas daunnya lain hari ia akan kembali menghijau.

Maaf, bukan saya memperlekehkan langkah tersebut malahan saya turut menyokong. Tetapi kita lupa, undang-undang ciptaan manusia banyak kelemahannya. Selagi kita tidak kembali kepada undang-undang Pencipta kita, selagi itu solusinya tidak akan kita temui.

Hudud. Ramai yang mencebik bila mendengar perkataan ini. Pencuri dihukum potong tangan, penzina dihukum rejam, pembunuh dihukum bunuh, minum arak dihukum sebat. Setakat itu pengetahuan kita. Sangat sedikit sehingga kita tidak layak untuk berdebat mengatakan hukuman hudud tidak relevan.

Contoh, A berzina dengan B dan dijatuhkan hukuman rejam. Apa kesannya kepada masyarakat? Masyarakat tidak akan berani melakukan dosa zina, seterusnya tiada kes mengandung anak luar nikah, tiada kes anak tidak sah taraf, tiada kes pembuangan bayi, tiada kes pembunuhan bayi.

Kepada yang beranggapan hukuman hudud adalah kejam, sila tanya diri anda kembali, kejamkah pesalah zina dihukum mengikut hukum hudud atas kesalahan mereka sendiri. Diulangi, dihukum atas kesalahan mereka, bukan orang lain. Kejamkah? Kejamkah hukuman yang dijatuhkan jika hukuman itu mampu mendidik masyarakat dan memelihara keturunan serta mengelakkan pembunuhan bayi yang tidak berdosa? Kejamkah?

Atau biarkan saja mereka berzina dek tidak takut melakukan dosa dan hasilnya keluar berita mayat bayi ditemui dalam tandas dalam keadaan yang menyedihkan. Itu tidak kejam? Bayi yang suci tidak berdosa seolah-olah menerima hukuman perbuatan ibu bapa mereka. Atau jika hidup sekalipun, anak itu terpaksa menanggung pandangan sinis masyarakat terhadap mereka. Itu tidak kejam?

Selagi undang-undang dari Allah diketepikan kita akan menyaksikan banyak lagi penemuan mayat bayi, banyak lagi kes rogol dan bunuh, banyak lagi Nurin, banyak lagi Nurul Huda. Cukuplah. Hentikanlah. Kita sudah tenat.

Dunia makin tua dan kita makin nyanyuk. Apa-apa saja yang datang dari Allah kita cuba menolak dan menggantikan dengan ciptaan kita sendiri dengan alasan kita punya lebih baik.

Sedarkah kita Allah yang mencipta kita dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.

Kita? Apa yang kita tahu?

p/s: Sekadar pandangan saya sebagai orang awam, bukan pengamal undang-undang, juga bukan ustazah.