Friday, April 8, 2016

Penjelajahan Angkasa yang Tidak Kesampaian dan Harapan Baru


Ada dua apps dalam hp aku yang si leng chai itu suka. Satu, macam budak-budak lain - Youtube.

Dua - Google Earth.

Dia sungguh kagum dengan globe yang dia boleh pusing-pusing tu dan cari Ampang kat peta Malaysia. Dia pusing-pusing globe dan kagum dengan kutub selatan dan macam-macam soalan keluar. Dia takjub bila tahu bahawa bumi itu bulat dan besar. Aku kata kat dia bumi itu Allah yang buat.

Aku belum cerita lagi yang bumi itu ada orbit, bumi itu terapung tanpa tali, dan segala macam fakta menakjubkan yang aku sendiri pun takjub. Sistem solar pun aku belum bukak cerita. Sebab cerita pasal kutub utara yang aku tak tahu apa tu pun tak habis-habis sebab budak ini macam kakaknya suka bagi soalan berantai dan rantaian dia memang panjang dan kalau salah jawab boleh buat aku terbelit.

Korang faham kan macamana kalau budak lima, nam tahun mula tanya satu soalan bermaksud ada berpuluh-puluh lagi soalan lanjutan walaupun jawapan asalnya cuma memerlukan ya atau tidak.

Soalan kedua akan pergi kepada kenapa lepas tu kenapa lagi lepas tu kenapa lagi lepas tu lagi-lagi kenapa sampai kita naik bosan diorang akan tukar pulak soalan macamana. Huk huk.

Walaupun kau jawab 'tak tahu' jangan ingat kau boleh terlepas daripada rantaian soalan tu sebab soalan lepas tak tahu adalah 'kenapa tak tahu'? Adoyyai.

Berbalik kepada Google Earth. Bila tengok budak ni kagum dengan planet bumi buat aku teringat aku yang dulu bukanlah yang sekarang.

Aku lupa bila aku mula tahu bahawa bumi ini sebuah planet bulat yang terapung mengorbit matahari tapi masa tu aku memang sungguh takjub dengan bulan dan bintang di langit malam dan tenggelam dalam keasyikan dan keajaiban kosmos. Eceh...

Masa tu ada satu set ensiklopedia kulit tebal bergambar yang mak beli sebelum aku pandai membaca lagi yang aku suka baca dan ulang baca sampai lebam terutamanya buku Alam Semesta. Tetiba teringat ni nanti balik kampung nak cari ada lagi ke buku ni. Hehe.

Aku suka pandang langit malam. Kebetulan rumah kampung masa tu bilik airnya luas dan berbumbungkan langit jadi di situlah aku duduk mencerap langit. Sambil pandang ensiklopedia tu aku cari bintang dan peta bintang dan buruj yang macam dalam gambar tu tapi aku tak pernah dapat cari semua.

Mungkin sebab kecondongan bumi atau bintang-bintang tu hanya boleh dilihat di hemisfera utara atau selatan. Entah. Satu-satu yang aku boleh cari dengan senang cuma tali pinggang orion tu je. Senang sangat tu. Ha ha.

Lepas tu aku buat alat ukur bintang tiru macam yang dalam ensiklopedia tu tapi tak pernah faham macamana nak guna.

Sayangnya bila aku mula sibuk nak UPSR aku tinggalkan semua tu dan lepas masuk sekolah menengah aku tenggelam dalam perlumbaan mengejar A dan ranking. Padahal mak ayah tak kisah pun kalau A tak banyak. Aihh..

Sekarang aku harap aku tidak menjadikan anak-anak sebagai trofi untuk aku bangga-banggakan.

Lambat pandai takpe, lambat catch silibus pun takpe, janji ilmu tu diorang faham dan melekat dalam hati dan diorang tahu bila dan macamana nak gunakan.

Mungkin sebab tu bila diorang tak berapa faham homework yang cikgu bagi aku suruh diorang tutup buku dan main. Lepas tu diorang akan main building block atau melukis atau mewarna atau main dengan kit eksperimen sesi tahun lepas. Ye lah, homework tu kalau siap tapi tak faham lebih baik tak payah buat walaupun betul. Kan kan kan.

Tapi kalau ada masa aku tolong la ajar. Kalau ada masa la.. Hee..

Kalau nanti diorang ada minat yang takde dalam silibus buku sekolah aku harap diorang tak dihanyutkan arus trend mengejar ranking dan meninggalkan impian mereka di pinggiran.

Aku harap juga nanti diorang tak menjadikan aktiviti bersekolah dan menuntut ilmu itu tujuannya sekadar untuk cari kerja. Rugilah kalau macam tu. Nanti jadi macam aku.

Lagi aku harap biarlah penyakit suka bertanya itu berkekalan dan harap-harap cikgu-cikgu diorang nanti sabar dengan segala pertanyaan.

Harap-harap impian jadi kenyataan.

*****

Malam tadi diorang tengok cerita Tomorrowland yang aku rekod. Banyak betul soalan dia. Fuh..

4 comments:

Nizam.Ariff said... [Balasan]

Mereka akan faham kebesaran Tuhan...

Nizam.Ariff said... [Balasan]

Dan betapa maha besar pun, Tuhan terlalu hampir dengan kita...

cinta said... [Balasan]

Tersangat betul.

Satu hari nanti diorg akan tahu sistem solar kita dalam alam semesta ini tak ubah seperti setitik debu yg berterbangan di udara yg tak mampu dilihat.

Masa tu Allahu akbar diucap dgn penuh makna.

cinta said... [Balasan]

Pun tersangat betul.

But the journey to understand it may take some distance (read:space) and time.